Sapura Industrial Berhad dan MARii Memperkukuh Keupayaan Automotif

Kuala Lumpur: Sapura Industrial Berhad (SIB) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh keupayaan automotif dan pembuatan termaju Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, peralihan serta bakat yang bersedia untuk industri. Kerjasama ini akan meletakkan SIB sebagai peneraju industri yang menyediakan hubungan praktikal antara inisiatif ekosistem…

Kuala Lumpur: Sapura Industrial Berhad (SIB) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh keupayaan automotif dan pembuatan termaju Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, peralihan serta bakat yang bersedia untuk industri.

Kerjasama ini akan meletakkan SIB sebagai peneraju industri yang menyediakan hubungan praktikal antara inisiatif ekosistem dan keperluan industri. Melalui peranan ini, SIB berhasrat menyokong penterjemahan teknologi dan inovasi kepada aplikasi pembuatan sebenar, di samping memperluaskan penyertaan industri tempatan.

Pengarah Urusan Sapura Industrial Berhad, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin berkata, landskap automotif dan pembuatan sedang berkembang pesat, didorong oleh teknologi baharu serta perubahan keperluan industri.

“Untuk Malaysia kekal berdaya saing, kita perlu terus memperkukuh hubungan antara pembangunan teknologi dan aplikasi industri,” katanya.

Beliau menambah, ,melalui kerjasama dengan MARii, kami mahu menyumbang kepakaran dan keupayaan sambil bekerjasama dengan ekosistem yang lebih luas untuk membangunkan penyelesaian tempatan, memperkukuh penyetempatan serta mewujudkan peluang yang menyokong fasa pertumbuhan industri Malaysia yang seterusnya.

Memacu Teknologi Baharu dan Keupayaan Pembuatan

Menerusi kerjasama ini, SIB dan MARii akan meneroka peluang penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam teknologi yang membentuk masa depan automotif dan pembuatan termaju.

Bidang tumpuan merangkumi motor elektrik dan Electric Drive Unit (EDU), teknologi bateri dan kenderaan elektrik (EV), mobiliti pintar, autonomi dan berhubung, pembuatan termaju, kecerdasan buatan (AI), robotik dan automasi, integrasi tenaga boleh baharu serta teknologi hidrogen, penyelesaian mobiliti pintar dan inisiatif ekonomi kitaran.

MoU ini turut meliputi pelaksanaan program perintis dan demonstrasi, pengesahan teknologi serta potensi pengkomersialan di Malaysia.

Memperkukuh Ekosistem Industri Tempatan Malaysia

Salah satu fokus utama kerjasama ini adalah memperkukuh penyertaan industri tempatan ketika Malaysia bergerak ke arah industri yang lebih berteraskan teknologi dan bernilai tinggi.

SIB dan MARii berhasrat menyokong pembangunan pembekal tempatan dan vendor teknologi, mengenal pasti peluang untuk meningkatkan penyetempatan teknologi strategik, serta memperkukuh keupayaan pembuatan dan daya tahan rantaian bekalan negara.

Kerjasama ini juga memberi penekanan kepada pembangunan bakat yang bersedia untuk industri melalui latihan profesional dan teknikal, pensijilan, perkongsian ilmu, latihan industri serta kerjasama yang lebih erat antara industri dan institusi akademik.

Ketua Pegawai Operasi MARii, Nizmar Mohd Nazar, berkata: “Sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan industri Kerajaan, kerjasama dengan SIB sebagai peneraju industri akan membantu memperkukuh keupayaan tempatan dan menyokong kemajuan berterusan ekosistem automotif dan pembuatan Malaysia.”

Bagi SIB, MoU ini menyediakan platform untuk memperluaskan penyertaannya dalam bidang industri yang sedang berkembang, di samping membina hubungan strategik dan peluang baharu melangkaui asas perniagaan automotif yang telah kukuh.

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories